Saturday, February 27, 2010

Buat Mu Mak

Posted by Cik Sue at 10:58 PM
Salam kengkawang...Dalam sedar dan tidak kita kini di bulan Mac. Andainya aku punya kuasa magis ingin sekali aku padamkan bulan Mac di dalam kalender. Mengapa???? Kerana bulan itu aku kehilangan insan yang Terlalu bermakna buat aku. Andai diukur dengan wang ringgit rasanya belum tentu aku termampu untuk membayar harga budi ini kepada Mak. Membesarkan kami 3 beradik seorang diri. Menghadapi tohmahan orang2 sekeliling dengan sabar dan tabah. Ketika Ayah meninggalkan Mak untuk selamanya, aku berusia 3 bulan dalam kandungan. Bagaimana seorang perempuan yang ketika itu tidak punya apa-apa untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil. Alhamdulillah berkat kesabaran Mak, kami akhirnya berjaya dalam kehidupan walaupun tidak semewah orang lain,cukup semuanya. Tapi hukum Allah s.w.t tidak dapat kita sangkal. Itu perjanjiannya. Maka pada tanggal 8 Mac 2005 bersamaan pukul 1 pagi Mak telah meninggal kami untuk selamanya di Hospital Besar Melaka. Dan aku antara yang berada disisi Mak ketika Mak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tenangnya Mak pergi menghadap Tuhan yang satu. Tabah juga aku menerima pemergian Mak tanpa ada setitis airmata yang keluar.
Ketika itu aku tidak ingin menunjukkan bahawa aku lemah di hadapan 2 orang kakak ku. Arwah Kakak yang sulung ketika itu sedang bergelut dengan penyakit kencing manis yang kritikal begitu juga kakak aku yang ke 2 sedang sarat mengandung anak ke 3. Kalau tidak aku yang menunjukkan kekuatan pada masa itu siapa lagi. Tapi hakikatnya hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu bagaimana hancurnya hati aku ketika itu. Sebagai manusia biasa aku redha dengan pemergian Mak. Aku tidak ingin menangisi pemergian Mak. Aku ingin Mak tenang di sana. Hanya doa dan al fatiha yang mengiringi Mak setiap kali aku menemuinya. Tangan inilah yang menyikatkan mak untuk kali terakhir, tangan ini jugalah yang membedakkan muka Mak untuk kali terakhir dan tangan ini juga lah yang mengikat 7 kali kain balutan Mak. Ntah kenapa saat itu aku seakan tidak membenarkan sesiapa menyentuh Mak, melainkan kami adik beradik. Ku lihat Kak long pakaikan Mak telekung terakhir yang aku beli untuk Mak hari raya yang lalu. Sedih rasa hati kerana aku tidak lagi berpeluang membelikan Mak telekung, gembira kerana pemberianku yang Mak bawa pergi bersamanya.
Kini selepas 5 tahun berlalu betapa aku sangat merindui Mak. Rindu pada celoteh Mak, rindu pada masakan Mak, rindu untuk mengucup pipi tua Mak, rindu pada Mak yang sentiasa ceria menyambut kepulangan anak cucunya dan rindu ini akan tetap di sini, di hati tanpa aku sendiri tahu di mana hentiannya. Selepas 5 tahun juga baru aku memahami hati tua Mak yang sering kali merajuk bila aku tak telepon, bila aku lama tak balik kampung jenguh Mak, bila aku cakap tidak pada Mak, bila aku membantah cakap Mak dan bila aku...bila..bila...segalanya tinggal kenangan. Kenangan terindah apa yang pasti aku tidak akan melaluinya lagi. Andai itu takdirnya aku redha Ya Allah!Terima kasih kepada Engkau Ya Allah kerana telah meminjamkan aku Mak yang terbaik. Perjanjian Allah tidak siapa dapat menghalangnya. Tidak juga masa, tidak juga takdir dan tidak juga malaikat menagguhkannya. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, kerana mati itu sesuatu yang pasti.
Dan saat kain kapan ingin menutupi Mak baru aku tersedar yang aku telah kehilangan tempat mengadu susah dan senang , tempat aku mencurah rasa hati dan tempat aku bermanja selama ini. Selamat jalan Mak semoga roh Mak di cucuri rahmat dan di tempatkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman. Moga kita bertemu di sana nanti, Amin..

0 Komen Yang Terbaek:

 

HidUp KeNA sLamBer Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei